Pemberontakan Raja Bersiong

Sekumpulan nelayan telah memberontak dan menyerang istana Raja Bersiong, tetapi mereka telah dikalahkan oleh tentera Raja Bersiong. Salah seorang nelayan yang terkorban ini ialah adik kepada salah seorang menteri Raja Bersiong. Menteri ini terkenal di kalangan orang istana dan rakyat. Menteri ini berasa amat dukacita akan kematian adiknya. Beliau kemudiannya telah menunggu Raja Bersiong pergi ke hutan untuk berburu bersama seratus orang pengawalnya. Menteri ini telah mengumpulkan bala tentera yang berjumlah beribu-ribu orang untuk memberontak dan mengusir keluar Raja Bersiong. Apabila Raja Bersiong pulang daripada perburuannya, beliau terkejut melihat ramai tentera yang telah mengepungnya diketuai oleh Menteri. Baginda mengarahkan pengawal-pengawal untuk bertarung dengan tentera pemberontak yang diketuai oleh Menteri, tetapi pengawal-pengawal telah belot dan menyertai tentera menteri. Baginda menjadi takut kerana tinggal berseorangan lalu telah melarikan diri ke dalam hutan. Baginda telah mangkat di dalam hutan tersebut.